Bahasa Jiwa Bangsa

Daulatkan Bahasa Melayu

19 December 2015


Sasterawan Negara
Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah
Jika menganggap sastera Melayu sebagai lidah ibu, kini lidah ibu itulah yang hendak dikerat dan digunting. Jika pada masa hadapan bahasa Melayu itu dibunuh, orang yang membunuh bahasa itu adalah pemimpin Melayu dan orang Melayu sendiri

[Sumber: Sinar Harian | 13 Disember 2015]

‘Jangan pinggir bahasa Melayu’

"JIKA menganggap sastera Melayu sebagai lidah ibu, kini lidah ibu itulah yang hendak dikerat dan digunting. Jika pada masa hadapan bahasa Melayu itu dibunuh, orang yang membunuh bahasa itu adalah pemimpin Melayu dan orang Melayu sendiri," kata Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Kemala, 74, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan sastera Melayu dan bahasa Melayu ketika ini di mana rata-rata pejuang sastera sepertinya turut bimbang dengan keadaan bahasa ibunda negara ini.

Menurutnya, situasi pemimpin dan rakyat yang lebih mendewa-dewakan bahasa lain terutama bahasa Inggeris sehingga mencampuradukkan bahasa dalam sistem pendidikan penyebab bahasa Melayu semakin terpinggir.

"Sekarang ini jika sistem pendidikan kita bercampur baur bahasa Melayu dan Inggeris, maka bahasa Inggeris pun tidak sempurna dan bahasa Melayu pun lintang pukang, jadi habislah jati diri kita.

"Justeru, kenapa bahasa Melayu ini dijadikan ujian? Dua tiga tahun tidak berjalan seperti dikehendaki, mereka berpatah semula. Hal tersebut menyebabkan bahasa Melayu musnah.

"Sedangkan ramai profesor, golongan cerdik pandai lahir dalam bahasa Melayu, mengapa ini boleh, mengapa kita nafikan perkara itu?

"Di negara seperti Jepun, China, Rusia, Belgium dan Sepanyol sendiri, mereka masih mengekalkan pengajaran dalam sistem pendidikan dalam bahasa ibunda mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Galeri Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Sasterawan Negara ke-11 ini tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris untuk dikuasai.
"Ia masih penting, itu saya tidak nafikan. Namun ajarkan sahaja dalam satu mata pelajaran seperti sebelum ini sehingga ia berjaya dikuasai.

"Tidak perlu bahasa itu turut digunakan dalam subjek Sains dan Matematik seperti yang mahu dilakukan sebelum ini. Dan sekali lagi tahun depan akan adanya program Dwi Bahasa yang dilihat punyai matlamat sama dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Saya antara tokoh sastera yang turut menurunkan tandatangan bantahan ketika PPSMI dahulu," katanya.

Tegasnya juga, masyarakat Melayu negara ini dinasihatkan agar tidak terus menerima sesuatu perubahan itu secara terus.

"Jangan ditelan bulat-bulat. Nanti bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa nombor dua, tetapi bagi saya akan jadi nombor empat di negara ini.

"Pertama bahasa Inggeris, kedua Mandarin, ketiga Tamil dan bahasa Melayu jatuh ke tempat keempat. Walaupun kita ada kuasa untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi telah dipandang remeh.

"Sastera Melayu itu bersangkutan dengan bahasa Melayu, jika diabaikan sehingga dipijak oleh bahasa lain, sama seperti kita membunuh ibu kita sendiri, ia amat mendukacitakan," katanya.

 Perlu peranan pemimpin

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nusantara Melayu Raya Malaysia (Numera) berkata, segala kebimbangan dan cubaan untuk meminggirkan bahasa Melayu boleh dihindari sekiranya pemimpin Melayu kita menjadi contoh dalam mengembalikan sastera ini.

"Terutama dalam sistem pendidikan negara, ia perlu diutamakan. Kemudian institusi kerajaan dan swasta perlu mempunyai pakar bahasa sendiri dalam urusan surat menyurat yang betul dan bertugas memberi penghayatan sastera kepada kakitangannya.

"Jika ia tidak dilakukan, apabila seseorang tokoh sastera itu dinobatkan, ia akan tamat begitu sahaja tanpa diundang untuk berkongsi mengenai sastera mereka dengan lebih mendalam di sesebuah institusi.

"Dengan adanya inisiatif tersebut, aspek seni, sastera dan bahasa tidak mungkin akan dipinggirkan oleh masyarakat kita apabila mula sebati dan diutamakan oleh setiap pihak seperti di negara lain," katanya.

Dalam Numera sendiri kata Datuk Kemala, mereka bukan sahaja menghargai tokoh sastera, tetapi golongan muda juga diberi kesempatan mencipta sastera baharu.

"Golongan muda bersyair dan bergurindam dengan ciptaan sastera baharu yang dalam masa sama terus menghargai karya lama seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin.

"Mereka turut menerapkan elemen agama dalam bidang sastera kerana jiwa akan sempurna jika berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

"Secara tidak langsung, jati diri dan kewibawaan sastera Melayu dapat dipertahankan oleh golongan sastera ini kerana mereka sudah punyai roh menghayati sastera lama dengan pegangan agama yang seiring," katanya.

Apa yang menyedihkannya, apabila bercakap mengenai Melayu sahaja akan ada pihak mempertikaikannya dan mengatakan itu rasis.

"Masakan itu boleh jadi rasis. Sedangkan di Nusantara ini, masyarakat Melayu dianggarkan terbesar iaitu 3 juta orang. Kita yang sepatutnya menjadi tuan.

"Tetapi kita sedia dipijak-pijak oleh bangsa lain dan lebih utamakan bahasa lain, itu sifat yang sungguh memalukan," katanya.


0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa