Bahasa Jiwa Bangsa

Kumpulan Perbincangan Prauniversiti SMK Megat Dewa

24 April 2009

Cikgu telah membuka kumpulan perbincangan di yahoo (Yahoo Groups.

Sila sertai dan berbincanglah tentang hal-hal yang bermanfaat di samping berkongsi bahan di http://groups.yahoo.com/group/bm910megatdewa

Moga memberi manfaat kepada kita.

Tentang Bahasa Melayu

Sumber: Blog M.A.R.N.I

Tahukah Anda?

Tahukah anda, sekolah-sekolah aliran Melayu telah wujud sejak 85 tahun sebelum merdeka?

Tahukah anda apakah tujuan kerajaan British memperkenalkan sekolah-sekolah aliran Inggeris di Tanah Melayu?

Tahukah anda bahawa semua sekolah-sekolah aliran Inggeris tersebut telah dialih bahasa ke bahasa Melayu 13 tahun selepas merdeka?

Tahukah anda mengapa sekolah-sekolah aliran Inggeris ini dialih bahasa ke bahasa Melayu?

Jika anda tahu, pernahkah pula anda terfikir berapa kos yang telah digunakan oleh kerajaan Tanah Melayu bagi mengalih bahasa sekolah-sekolah Inggeris ini?

Berapa pula kos yang digunakan bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah?

Mari saya ceritakan serba sedikit rentetan perubahan penggunaan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu.


Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok generasi buta sejarah sehingga sanggup menyokong ppsmi dan membelakangkan bahasa Melayu.

Belajarlah dari sejarah. Semoga kita tidak tersilap perhitungan.
_________________________

1872 – bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah aliran Melayu (sehingga darjah VII).

1956 – bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib di semua sekolah rendah.

1958 – bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar peringkat sekolah menengah.

1960 – bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam peperiksaan SRP.

1962 – bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam peperiksaan SPM.

1964 – bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam peperiksaan STP (STPM diperkenalkan kemudian).

1970 – sekolah aliran Inggeris dialih bahasa ke bahasa Melayu mulai Tahun 1.

1975 – sekolah aliran Inggeris dialih bahasa ke bahasa Melayu sehingga ke Tahun 6.

1976 – sekolah aliran Inggeris dialih bahasa ke bahasa Melayu mulai Tingkatan 1.

1980 – sekolah aliran Inggeris dialih bahasa ke bahasa Melayu sehingga Tingkatan 5.

1981 – bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di Tingkatan 6.

1983 – bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar sepenuhnya di universiti.

_________________________

Lihatlah pula rentetan pencerobohan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu:

1993 – bahasa Inggeris dibenarkan sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan teknologi di IPTA.

1996 – Akta IPTS dipinda dengan memasukkan kebenaran menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di IPTS.

2002 – Jemaah Menteri meluluskan Dasar PPSMI.

2003 – PPSMI dilaksanakan serentak di sekolah rendah dan sekolah menengah.

2007 – PPSMI dilaksanakan sepenuhnya di sekolah menengah.

2008 – PPSMI dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah.

________________________

Nota:

Bantahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan telah dimulakan seawal tahun 1993, bukan baru sekarang seperti yang didakwa oleh beberapa orang pemimpin kita.

Baca di sini.

Pemantapan Bahasa Melayu Melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

23 April 2009

Artikel ringkas ini telah disiarkan oleh akhbar dalam talian Sinar Harian dalam kolum Rencana Komuniti (20 April 2009).

Pemantapan Bahasa Melayu Melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
20/4/2009 12:59:12 AM
Pengirim: Bukhari


Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan juga asas perpaduan terus diberi penekanan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan(PIPP), iaitu membina Negara Bangsa. Kesungguhan untuk melaksanakan fokus ini dijelaskan sebagai cabaran untuk memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan.

Beberapa langkah ke arah memperkasakan dan menjulang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu talah digariskan dalam PIPP . Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberi tanggungjawab penuh untuk memperlengkapkan korpus Bahasa Kebangsaan, menyebarkan maklumat berkaitan Bahasa Kebangsaan, menggalakkan dan mengiktiraf penggunaan Bahasa Kebangsaan, meningkatkan penggunaan dan kemahiran berbahasa dalam Bahasa Kebangsaan, dan meningkatkan bahan bacaan dan rujukan dalam Bahasa Kebangsaan. Agenda tersebut akan disokong melalui usaha penterjemahan buku-buku ilmu dan karya agung yang dikendalikan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) pula berperanan memperbanyakkan penerbitan buku judul umum, penerbitan buku dalam bentuk digital, pengiktirafan terhadap buku-buku terbitan tempatan dan usaha mempromosi buku-buku terbitan tempatan ke pesta-pesta buku antarabangsa.

Langkah-langkah tersebut merupakan lanjutan ke arah memantapkan lagi pelaksanaan beberapa dasar terhadap Bahasa Melayu sebelum ini yang didapati tidak menampakkan keberkesanannya. Umpamanya Dasar Buku Negara dan kadar penterjamahan karya-karya asing ke dalam Bahasa Melayu yang masih belum mencapai tujuannya. Ini diakui dalam fasal 4.1 pelan ini, iaitu dalam konteks Dasar Buku Negara usaha memperkasakan Bahasa Melayu masih belum dapat dibanggakan kerana jumlah penerbitan buku terutama buku judul umum oleh penerbit tempatan secara umumnya masih lagi rendah berbanding dengan Korea Selatan, Jepun dan China. Selain itu, usaha penterjemahan daripada bahasa asing kepada Bahasa Melayu juga masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Usaha-usaha menggalakkan penerbitan buku-buku judul umum dan penterjemahan karya asing kepada Bahasa Melayu merupakan suatu yang boleh dibanggakan kerana akan memperbanyakkan bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Usaha ini sewajarnya dilihat sebagai satu langkah berterusan untuk memantapkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah. Hal ini sejajar dengan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Selain itu, bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu, pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan juga dilaksanakan oleh sekolah, Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, DBP, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan merangkumi usaha-usaha untuk mengukuhkannya dalam kurikulum dan kokurikulum, aktiviti pembangunan dan pengembangan Bahasa Kebangsaan, aktiviti kesusasteraan termasuk perkhemahan sastera, sayembara puisi, deklamasi sajak, pertandingan berbalas pantun, syarahan serta pertandingan menulis cerpen dan puisi. Melalui PIPP juga, pembaharuan terhadap gerakan memperkasakan Bahasa Melayu dilakukan dengan menyenaraikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) sebagai salah satu perayaan utama Kementerian Pelajaran Malaysia dan seterusnya dijadikan salah satu daripada perayaan nasional.

Berdasarkan perancangan dan usaha-usaha yang dipaparkan dalam PIPP, jelas usaha memartabatkan Bahasa Melayu tetap menjadi agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal ini kerana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan bahasa pengantar dalam pendidikan sewajarnya terus diperkasakan dan dimantapkan agar kedudukannya terus utuh dan peranannya sebagai alat perpaduan juga semakin berkesan.

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks

21 April 2009

Sumber : Blog Cikgu Khir Kassim

Bagi calon-calon STPM, soalan Alih Teks ini menawarkan pilihan, iaitu sama ada Soalan 6 atau Soalan 7. Anda perlu memilih satu soalan sahaja, iaitu setelah membuat keputusan tentang teks yang anda rasakan dapat dijawab dengan baik. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15 markah, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana soalan ini berupaya untuk meningkatkan markah anda untuk Kertas 2. Jadi, janganlah anda membuat tanggapan bahawa soalan ini tidak penting, sebaliknya anda perlulah membuat latihan yang sistematik dan berterusan berdasarkan jenis teks yang telah dipilih dan pernah digunakan dalam peperiksaan STPM.

Selain itu, anda juga perlu mencuba jenis-jenis teks yang lain sekiranya ada dan belum pernah ditanya dan digunakan dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Oleh itu, berbincanglah dengan rakan-rakan dan guru anda tentang jenis-jenis teks tersebut. Jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam soalan STPM sebelum ini ialah teks iklan, undang-undang, prosa klasik, sajak, dialog drama dan cerpen.

Selepas meneliti jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam STPM itu, saya mendapati teks puisi tradisional tidak pernah digunakan lagi. Oleh itu, calon-calon STPM tahun ini perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap jenis teks puisi tradisional ini. Puisi tradisional ini pula terbahagi kepada beberapa jenis, seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka.

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:

1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.

2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.

3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.

4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.

5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.

6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.

7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).

8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.

9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.

Majlis Persaraan Cikgu Mehat

19 April 2009

Tahniah kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 yang berjaya mengelolakan majlis yang diadakan. Masing-masing bersmangat dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Pakaian hari ini pun menarik. Syabas!


Gambar-gambar semasa majlis akan dipaparkan kemudian.

Persaraan Cikgu Mehat bin Man (PK SMK Megat Dewa)

14 April 2009

Pada 19 April 2009 akan diadakan Majlis Mengenang Budi sempena persaraan Encik Mehat bin Man, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Megat Dewa.

Tahniah kepada semua pelajar tingkatan 6 kerana telah diberi kepercayaan untuk mengelolakan majlis tersebut. Insyaallah kalian mampu melaksanakannya dengan semangat bekerjasama. Jangan malu untuk berdamping dengan guru-guru. Mintalah pandangan dan tunjuk ajar daripada mereka.

Kepada Encik Mehat, kami mengucapkan selamat bersara dan semoga sentiasa berada dalam rahmat-Nya.

Tinggi-tinggi terbang helang,
Terbang jauh meninggalkan sarang;
Walau jauh pergi menghilang,
Budi yang baik tetap dikenang,

Anak Cina bermain gelombang,
Nampak dari Tanjung Jati;
Tuan umpama bunga yang kembang,
Sentiasa hidup di dalam hati.

Kuning emas masaknya padi,
Air di alur mengalir tenang;
Tuan seorang yang baik budi,
Itulah sebab duduk mengenang.

Inderagiri pasirnya lumat,
Kerang bercampur dengan lokan;
Bagai nabi kasihkan umat,
Begitulah kami kasihkan tuan.

Ke-...-an: Imbuhan apitan atau bukan?

12 April 2009

Apitan merupakan imbuhan yang ditambahkan serentak pada hadapan dan pada belakang kata dasar.

keamanan = ke- + aman + -an
kesejukan = ke- + sejuk + -an
kementerian = ke- + menteri + -an

kewajipan = ke- + wajip + -an (?)


Adakah ke-...-an dalam kata 'kewajipan' merupakan imbuhan apitan atau terdapat kekecualian fungsinya sebagai imbuhan apitan?

Kata 'wajip' tidak terdapat dalam senarai Daftar Ejaan Rumi BM. Begitu juga tidak terakam dalam Kamus Dewan Edisi keempat. Dalam senarai panduan bahasa DBP dan Daftar Ejaan Rumi BM kata 'kewajipan' diperakukan penggunaannya dengan ejaan yang betulnya 'kewajipan'.

Jawapan atau Jawaban? ii

10 April 2009

Pandangan ini saya petik daripada blog Bahasa Melayuku. Kupasan yang diberikan berkaitan "jawapan" atau "jawaban" adalah jelas dan bersandarkan kepada beberapa hujah.

Sebuah syarikat penerbitan buku bersilibus yang terkenal di negara ini telah menulis "jawaban" bagi setiap buku yang diterbitkan oleh mereka. Maka di bahagian kulit belakang setiap buku Bahasa Malaysia (Melayu?) mereka mencatatkan bahawa mereka menjadikan Kamus Dewan sebagai dasar pembentukan kata tersebut. Walaupun dalam KD ada juga mencatatkan entri "jawapan", tetapi mereka lebih berbangga dengan pemilihan kata "jawaban".

Soalnya di sini, adakah sumber pegangan mereka itu tepat? Saya berpendapat pegangan
mereka itu adalah kurang tepat. Premis hujah saya ialah begini :

1) Dalam ilmu linguistik terdapat dua perkara asas yang berbeza. Yang pertama dikatakan sebagai lingusitik deskriptif, manakala satu lagi ialah lingusitik persekptif. Kedua-dua cabang lingusitik ini memang jelas perbezaannya. Lingusitik deskriptif ini ialah ilmu lingusitik yang khusus untuk mencatat, menganlisis apa-apa sahaja unsur linguitik dalam sesuatu bahasa. Sama ada yang dicatatkan dalam linguistik ini adalah salah atau betul, itu bukan yang menjadi asasnya. Yang termasuk dalam linguistik jenis ini ialah termasuklah sosiolinguistik, leksikografi, dan lingusitik rekonstruktif.

Manakala untuk lingusitik preskriptif ini ialah cabang ilmu linguistik yang akan menentukan salah atau betulnya sesuatu unsur bahasa, khasnya dalam soal tatabahasa. Yang termasuk dalam rangkuman cabang lingusitik ini termasuklah sistem ejaan.

2) Kamus Dewan (KD) merupakan kamus yang termasuk dalam pengkajian leksikografi. Leksikografi ialah cabang ilmu lingusitik yang berbentuk deskriptrif. Oleh sebab KD merupakan kamus, maka segala entri yang terdapat di dalamnya bukannya berdasarkan betul atau tepat sesuatu perkataan. Kamus merupakan suatu naskhah yang mendokumentasikan setiap unsur leksikal yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Dan leksikal ini boleh berbentuk apa-apa sahaja berdasarkan tujuan pembentukan sesuatu kamus. Maka dengan itu kita mempunyai Kamus Kata Ganda, Kamus Peribahasa, Kamus Geografi, dan yang seumpama dengannya. Berbalik kepada KD, tujuan penaskahannya ialah untuk mendokumentasikan segala bentuk leksikal yang terdapat dalam bahasa Melayu yang kemudiannya telah dijadikan entri bagi kamus tersebut. Dalam soal ini, tidak timbul sama ada sesuatu kata itu salah atau betul tatabahasanya. Selagi kata terdapat dalam bahasa Melayu, maka kata tersebut akan dijadikan sebagai suatu entri.

3) Untuk linguistik yang bersifat preskriptif, kita mempunyai Tatabahasa Dewan (tatabahasa yang menjadi tatabahasa pegangan di institusi pendidikan), Nahu Melayu Mutakhir, Tatabahasa Dinamika Bahasa Melayu dan banyak lagi buku-buku tatabahasa yang dihasilkan oleh pakar-pakar bahasa di Malaysia. Manakala untuk sistem ejaan pula, Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) dan Daftar Ejaan Bahasa Melayu merupakan buku panduan yang menjadi pegangan dalam pembentukan sesuatu ejaan.

Setelah kita memahami akan perkara asas ini, maka persoalan manakah yang tepat antara "jawapan" dan "jawaban", akan terungkai. Dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) tidak tercatat kata "jawaban". Begitu juga dengan buku daftar Ejaan Bahasa Melayu, pun tidak tercatat kata "jawaban". Yang ada ialah "jawapan" sahaja.

Ada yang mengatakan buku Daftar Ejaan Bahasa Melayu sudah ketinggalan kerana sudah lama tidak dikemaskinikan. Sebenarnya yang membangkitkan perkara ini tidak memahami ilmu lingusitik itu sendiri. Jawapan saya begini : sistem ejaan baharu yang telah dilancarkan dan diterima pakai semenjak 1973 adalah berbeza sama sekali dengan sistem tatabahasa. Sistem ejaan tidak akan mengalami perubahan secara dinamik. Kalau begitu sifat ejaannya, maka begitulah kewujudannya. Namun begitu, bagi sistem tatabahasa, oleh sebab sifatnya yang dinamik, maka sesuatu tatabahasa itu mungkin akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Pun begitu, perubahannya tidaklah berlaku secara intensif dan berkala. Misalnya, dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, ada dimasukkan Kata Adverba dalam kelompok Kata Tugas. Sebenarnya, Kata Adverba yang dimasukkan ke dalam TD ini bukanlah suatu penemuan baharu. Kemasukannya hanyalah atas dasar untuk memudahkan pendokumentasian bagi aspek leksikografi (perkamusan). Sebenarnya Kata Adverba itu telahpun dapat diterangkan oleh Kata Keterangan yang sebelum ini ada dibincangkan dalam buku Tatabahasa Dewan edisi terdahulu.

Jadi kesimpulannya ialah, "Jawaban" itu salah, manakala "jawapan" itulah yang sebenarnya. Sebenarnya banyak lagi hujah untuk membuktikan "jawapan" itu yang betul. Hujah-hujah itu akan menyusul dalam artikel yang ke seterusnya.
.......................................................................................

Sumber: http://bahasa-melayu-ku.blogspot.com/2009/01/jawapan-atau-jawaban.html

SMK Megat Dewa Sekolah Bestari

05 April 2009

Tahniah kepada warga SMK Megat Dewa kerana terpilih dalam program Pembestarian Sekolah. 15 buah sekolah telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran untuk pelaksanaan pembestraian sekolah untuk fasa ke-2.

SMK Megat Dewa merupakan satu-satunya sekolah di negeri kedah yang terpilih bagi kategori sekolah luar bandar bersama-sama 4 buah sekolah lagi dari Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.


Selamat merealisasikan Sekolah Bestari.


Bahasa Jiwa Bangsa